Khamis, Mac 23, 2017

Pin It Button

Kerajaan Negeri Sarawak telah menggubal Ordinan Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak pada tahun 1997.  Pada tahun berikutnya, Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) pula telah ditubuhkan untuk memulakan program-program pemuliharaan, penggunaan, kawalan dan pembangunan lestari kepelbagaian biologi di Sarawak.

Profile Article

Pada tahun 1998, Kerajaan Negeri juga telah menggubal Peraturan-peraturan Kepelbagaian Biologi Sarawak.  Pada masa itu, peranan SBC adalah tertumpu kepada kerja-kerja inventori dan pengawalan - juga selalu dikenali sebagai 'gatekeeper' kepada kekayaan kepelbagaian biologi di Sarawak oleh mereka yang ingin menembusi serta menjalankan kutipan ke atas sumber-sumber biologi di negeri ini sama ada untuk tujuan penyelidikan atau komersial.

Semasa penubuhan pusat ini iaitu di antara tahun 1998 dan 2003, negeri Sarawak telah menyedari potensi lain yang boleh diterokai daripada kekayaan sumber-sumber biologinya iaitu potensi untuk penyelidikan intensif berasaskan bioteknologi dan pembangunan produk daripada kepelbagaian sumber-sumber biologi yang meluas ini.  Pada bulan Disember 2003, Dewan Undangan Negeri telah meluluskan Ordinan Pusat Kepelbagaian Biologi (Pindaan) 2003 serta mengkaji semula dan meluluskan Peraturan Kepelbagaian Biologi Sarawak yang telah disemak semula pada tahun 2004. Pindaan ini telah melepaskan SBC daripada peranannya untuk menjalankan inventori dan menguatkuasakan penyelidikan kepelbagaian biologi secara umum.  Sebaliknya SBC telah diamanahkan untuk memulakan penyelidikan berasaskan bioteknologi dan pembangunan ke atas sumber-sumber biologi di Sarawak - dengan lebih jelas, sumber-sumber yang digunakan oleh komuniti-komuniti pribumi serta membantu mendokumentasi pengetahuan tradisional mereka yang semakin pupus ke atas penggunaan sumber-sumber ini.

Pada tahun 2014, Dewan Undangan Negeri telah meluluskan Ordinan Sarawak Biodiversity (Pindaan) 2014 untuk memperkukuhkan undang-undang dan prosedur-prosedur ke atas Akses dan Perkongsian Faedah.

Slogan
Biodiversiti untuk masa depan yang lebih baik