Isnin, Mac 27, 2017

Pin It Button

Terdapat 36 kumpulan pribumi yang berbeza di Sarawak dan ini dapat dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan besar seperti berikut:  Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan Melayu.  Setiap kumpulan etnik ini telah mewarisi pengetahuan tradisional yang luas daripada nenek moyang mereka dan sebahagian besarnya tidak pernah didokumentasikan.  Pengetahuan ini termasuklah amalan yang telah dilakukan berkurun lamanya seperti penanaman sumber makanan dan bagaimana untuk terus hidup dalam alam sekitar mereka.  Penggunaan dan pengurusan sumber-sumber biologi oleh masyarakat pribumi ini dari zaman dahulu dikenali sebagai pengetahuan tradisional.

Komuniti peribumi mendokumentasi kegunaan tumbuhan

Sementara ramai di antara generasi-generasi tua di dalam komuniti-komuniti ini yang masih mempertahankan pengetahuan tradisional mereka, terdapat kebimbangan akan hilangnya pengetahuan ini disebabkan oleh perubahan cara hidup, keutamaan, senangnya memperolehi kemudahan-kemudahan moden dan hilangnya kebergantungan ke atas sumber-sumber semulajadi oleh komuniti-komuniti pribumi ini.  Ini menjadikannya semakin penting untuk mendokumentasi Pengetahuan Tradisional oleh setiap komuniti pribumi dan mempertahankannya sebagai warisan agar ia tidak hilang ditelan masa.

Dengan permintaan yang mendadak terhadap pembangunan produk-produk semulajadi dan bioprospek daripada sumber-sumber biologi dunia, ianya menjadi semakin penting untuk mendokumentasi Pengetahuan Tradisional.  Ini untuk memastikan agar komuniti-komuniti pribumi yang telah mengamalkan pengetahuan tersebut sejak turun temurun diperakui sekiranya pengetahuan mereka digunapakai dalam pembangunan produk-produk semulajadi atau bioprospek.

Objektif utama Program Dokumentasi Pengetahuan Tradisional yang dijalankan oleh Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak adalah sebagai pemudah cara kepada komuniti-komuniti pribumi di negeri ini dalam memulihara Pengetahuan Tradisional mereka melalui rekod dan pendokumentasian yang betul.  Usaha-usaha seperti ini dijalankan melalui bengkel-bengkel binaupaya yang membekalkan komuniti-komuniti tempatan dengan kemahiran-kemahiran yang perlu seperti teknik-teknik mendokumentasi, penanaman semula dan pengurusan tumbuh-tumbuhan tempatan yang berguna.

Projek ini turut menggalakkan komuniti-komuniti pribumi untuk menanam tumbuh-tumbuhan tempatan yang berguna bagi keperluan mereka sendiri, sebagai lanskap di persekitaran mereka dan untuk tujuan kesedaran dan penghargaan.